Selamat Sejahtera ke Atas Kamu

Photobucket

Monday, April 26, 2010

TAMRIN QIYADI KEBANGSAAN 2010




Yang Berbahagia

YDP/ TYDP/ Amir/Amirah

Saudara / saudari,


Assalamualaikum wbt.

NOTIS 1: MAKLUMAN TAMRIN QIYADI KEBANGSAAN 2010

Didoakan semoga saudara/saudari berada dalam lindungan dan rahmat Allah Ta’ala hendaknya.

Merujuk kepada perkara diatas, sukacita dimaklumkan bahawa Tamrin Qiyadi Kebangsaan 2010 akan diadakan mulai 14-16 Mei 2010 (Jumaat- Ahad). Tamrin ini akan melibatkan pimpinan kampus dan badan gabungan negeri (BGN) PKPIM dari seluruh Malaysia.

Tamrin Qiyadi Kebangsaan PKPIM yang merupakan program rasmi tahunan adalah merupakan platform dan medan yang rasmi untuk membincangkan gagasan dan agenda gerakan, di samping membentuk kefahaman yang lebih jelas untuk menjayakan misi dan visi gerakan di kalangan kepemimpinan PKPIM di peringkat kampus dan negeri. Sehubungan itu, PKPIM Pusat berpandangan bahawa penyertaan dari seluruh pimpinan kampus dan badan gabungan negeri amat penting dalam Tamrin Qiyadi Kebangsaan.

Butiran lanjut adalah seperti berikut:

Program : Tamrin Qiyadi Kebangsaan 2010.
Tempat : KB Chalet, Ayer Tawar, Perak .
Tarikh : 14 Mei - 16 Mei 2010. (Jumaat hingga Ahad)
Bayaran : RM 20

(*Sebarang perubahan tempat akan diberitahu. Tentatif program akan diemel bersama Notis Ke-2 TQK 09/10)

Sila hantar senarai nama peserta ke emel majlistarbiyah_pkpim@yahoo.com ataupun boleh menghubungi Sdri Fatimah (019-3916129) sebelum 9 Mei 2010.

Segala kerjasama dan perhatian yang diberikan didahului dengan ucapan Jazakallahu Khairan Jaza’.

Sekian. Terima kasih.


Yang Benar,
SITI NUR SAKINAH BINTI AHMAD BUDIMAN
Setiausaha,
Tamrin Qiyadi Kebangsaan PKPIM 2010,
Sesi 2009/ 2010.
YAKIN DENGAN ALLAH!!!

Wednesday, April 21, 2010

Monolog dari Jiwa yang Kacau....Jangan baca!

Asslamualaikum wbt...
Coretan kali ni agak berbeza atmosferanya. Mungkin sebab baru saje check result. Teruk? ya Allah... Ujian kali ni begitu berat untuk dipikul... Kenapa saya nak kongsi masalah saya kat sini?

Ada orang kata,saya seorang yang suka memendam perasaan...(^_^). huhu...mungkin sebab dari kecil saya terpaksa jadi macam ni. Kenapa? Saya tak nak cerita. Sebab orang cakap saya kuat berahsia. Saya akui benda tu...saya pernah cuba ceritakan masalah saya kepada orang yang amat saya percaya...tapi...dia buat tak endah je...tinggalkan saya dalam keadaan yang serba kebuntuan...sejak itu saya tekad...orang lain tak kan faham masalah saya...kalau saya kongsi pun...hanya akan buka aib saya dan orang sekeliling saya..hanya Allah yang tahu.


Siapa saya untuk mengeluh?
Allah bagi saya nikmat yang tak terhingga. Saya je yang tak tahu bersyukur.
Cuti semester ni...saya banyak duduk di rumah...berdiam diri melihat sekeliling...sedangkan kawan seperjuangan sibuk berjuang. Kenapa teruk sangat Sakinah?



Kalau nak kata selama ni sibuk study...apa buktinya?



Bila saya asyik hanyut dengan keseronokan...akhirnya...hati memang terasa kosong...

ya Allah...layakkah aku terima kebahagiaan seperti ini?
Hanya redha dari Mu yang aku dambakan...maafkanku atas kealpaan diriku..


YAKIN DENGAN ALLAH!!!

Friday, April 16, 2010

Pernyataan Sikap Terhadap Jenayah Qazaf



بسم الله الرحمن الرحيم


لقد أرسلنا رسلنا بالبيّنات وأنزلنا معهم الكتاب والميزان ليقوم الناس بالقسط وأنزلنا الحديد فيه بأس شديد ومنافع للناس وليعلم الله من ينصره ورسله بالغيب إن الله قوى عزيز



Sesungguhnya, Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan bukti-bukti yang nyata dan Kami turunkan bersama mereka kitab dan neraca (keadilan) agar manusia dapat berlaku adil. Dan Kami menciptakan besi yang mempunyai kekuatan hebat dan banyak manfaat bagi manusia, dan agar Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)-Nya dan rasul-rasul-Nya walaupun (Allah) tidak dilihatnya. Sesunggguhnya Allah Maha Kuat, Maha Perkasa. Al-Hadid:25


Petikan ayat 25 surah al-Hadid di atas seharusnya menyedarkan kita bahawa sesungguhnya keadilan (al-qist) adalah rumusan misi seluruh agama samawi. Demikianlah, Islam yang memang terumpun dalam warga agama-agama wahyu meletakkan keadilan di puncak hiraki sistem nilainya dan sekaligus menjadikannya salah satu maqasid (matlamat) utamanya. Selaras dengan itu umat Islam dituntut menegakkan keadilan (iqamat al-`adl) sebagaimana yang tersurat dan tersirat dalam syari`at. Justeru, keadilan yang hakiki dan mutlak hanya ada dalam syari`at, hukum-hakam Ilahi yang merupakan penjelmaan keadilan-Nya (`adlu 'Llah).


Komitmen keislaman hanya dapat menepati erti hakikinya apabila maqasidnya terlaksana. Maqasid al-shari`ah dalam erti objektif, tujuan dan matlamat syari`at yang menjadi tema besar wacana usuli meliputi keperluan dan hak asasi yang mesti dipelihara dan dijamin demi martabat, maslahah dan survival kemanusiaan. Antara yang terliput dalam cakupan maqasid tersebut ialah jaminan perlindungan terhadap maruah dan kehormatan diri. Dalam pidato haji perpisahan yang merumuskan sari utama misi kerasulanya, Rasulullah s.`a.w. menyebut maruah (al-a`rad) sebagai suatu yang suci, suatu yang mesti dihormati tanpa kompromi. Memang demikianlah hakikatnya, Islam melindungi maruah dan kehormatan diri umat menerusi hukum-hakamnya yang jelas dan tegas, cukup untuk mencegah kesewenang-wenangan mencemarkan maruah seseorang. (Untuk penyataan penuh sila klik di sini).


Dalam kaitan inilah motif hukum qadhaf dalam syari`at Islam itu harus difahami. Mereka yang berleluasa menabur fitnah, melemparkan tuduhan keji (zina/liwat) tanpa pembuktian secara syar`i (menghadirkan empat orang saksi yang adil dan berwibawa) seharusnya menginsafi betapa buruknya perilaku mereka, dan betapa beratnya kesalahan jenayah qadhaf yang membawa hukuman deraan fizikal lapan puluh kali sebatan (ثمانين جلدة), di samping sanksi sosial dan moral: hilang kelayakan menjadi saksi (tentang apa pun dan sampai bila pun), dan seterusnya terlempar ke dalam kelompok orang-orang fasiq (الفاسقون) sebagaimana yang disebut dalam surah al-Nur:4-5. Demikianlah ketetapan hukum syari`at yang tidak boleh ditawar-tawar lagi. Cara pembuktiannya hanya satu: hadirkan empat saksi, dan tidak lain daripada itu. Dalam kes seperti ini pembuktian dengan cara bersumpah sama sekali tidak relevan.


Kedaulatan syari`at adalah asas pembangunan umat dan masyarakat yang murni, bermaruah dan berintegriti. Masyarakat Islam dengan ciri-cirinya yang sedemikian itu tidak dapat menerima budaya fitnah, ghibah dan gosip yang membawa akibat fatal: keruntuhan martabat dan maruah umat keseluruhannya. Para pelaku dan penabur fitnah sebenarnya tidak layak hidup di tengah umat yang bermaruah dan berbudaya saling hormat. Selaras dengan itu seluruh umat Islam yang setia kepada idealisme masyarakat bersyari`at harus menolak gejala fusuq (kefasikan) yang menjelma dalam bentuk fitnah terhadap seseorang yang berintegriti moral. Dalam kaitan ini YB. Dato' Seri Anwar Ibrahim, atau siapa sahaja yang dilempari tuduhan (qadhaf) tanpa pembuktian secara syar`i berhak membela diri dan menuntut keadilan berasaskan hukum syara`: penuduh yang gagal menghadirkan empat orang saksi harus didakwa di bawah hukum qadhaf.


Demi menghormati kedaulatan Islam, tuduhan yang tidak memenuhi persyaratan syara`seharusnya digugurkan. Dalam hubungan ini fatwa para ulama dunia yang berautoriti besar mengenai isu ini seperti al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan al-Shaykh Dr. Wahbah al-Zuhayli (kedua-duanya adalah penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah dari kerajaan Malaysia) serta yang lain-lainnya harus dihormati dan didukung tanpa ragu. Fatwa-fatwa mereka cukup jelas, tegas, kuat, berwibawa dan meyakinkan. Sesungguhnya kembali kepada syari`at adalah satu-satunya jalan keluar yang adil dan selamat. Demikianlah petunjuk Ilahi yang terungkap dalam kitab suci-Nya, "… Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Al-Nisa':59). Apakah yang sebenarnya dicari oleh pendakwa dan penuduh? Andainya yang dicari adalah keadilan, bukankah ia wujud dalam hukum syari`at?


Apakah ada hukum lain yang lebih adil daripada hukum Allah? Apabila seseorang mengatakan "Aku ridha dengan Allah sebagai Tuhan……." (رضيت بالله رباً...) bererti ia rela menerima hukum-hakam-Nya.
Jika benar demikian, mereka harus membuktikan kejujuran menepati ikrar dan pengakuan tersebut. Ternyata kesediaan rujuk (kembali) kepada Allah (hukum-hakam-Nya) adalah ujian iman. Hanya yang benar-benar beriman (kepada Allah dan Hari Akhirat) sahaja yang akan dengan senang dan rela menerima hukum Allah. Demikianlah makna tersirat di balik kalimat-kalimat,"…, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian." (إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر)


Terlepas dari maksud mencampuri konflik politik antara parti, dengan niat murni semata-mata demi amanatu 'l-balagh serta tanggungjawab dakwah dan tazkirah, kita menyeru seluruh umat dan rakyat agar berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, yang dalam hal ini pembuktiannya harus berdasarkan hukum syara`. Pembuktian yang tidak dilakukan secara syara` adalah tidak sah. Dalam kaitan ini seluruh rakyat yang menginsafi hakikat kesucian maruah dan ketinggian nilai kehormatan diri harus sedia memberikan sokongan dan dukungan kepada perjuangan suci mempertahankan maruah, kehormatan dan nama baik dari pencemaran fitnah. Sementara itu kita juga ingin mengingatkan bahawa dalam melaksanakan proses perundangan secara Islam, yang seharusnya dicari adalah kebenaran, keadilan dan keredhaan Tuhan, bukan loophole dalam teks undang-undang untuk dieksploitasi membela kezaliman.


Demi tanggungjawab membina umat dan masyarakat bermaruah yang saling hormat dan saling percaya, setiap warga harus memiliki keberanian bersikap, menolak budaya fasiq aib mengaib dan fitnah memfitnah. Masyarakat Islam bukan sebuah ladang fitnah, dan bukan juga sebuah pasar gosip. Al-Qur'an telah memberikan petunjuk jelas bagaimana menyikapi gejala fasiq seperti itu, iaitu dengan menolaknya secara jelas, tegas dan tanpa basa-basi, "… ini dusta yang nyata!" ,(...هذا إفك مبين)"…ini pembohongan besar!" .(هذا بهتان عظيم) Komitmen terhadap misi amar makruf nahi munkar menuntut setiap orang bertindak melawan gerakan penyebaran kebejatan (al-fahishah). Mereka yang terlibat dengan kegiatan jahat menabur fitnah dan menyebarkan berita bohong di kalangan umat seharusnya menyedari dan menginsafi amaran keras pembalasan Tuhan sebagaimana ditegaskan dalam kitab suci-Nya:


إنَ الذين جاءوبالإفك عصبة منكم لاتحسبوه شرًا لكم بل هو خيرلكم لكل امرئ منهم مااكتسب من الإثم والذى تولَى كبره منهم له عذاب عظيم.


Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu (juga). Janganlah kamu mengira berita itu buruk bagi kamu bahkan itu baik bagi kamu. Setiap orang dari mereka akan mendapat balasan dari dosa yang diperbuatnya. Dan barang siapa di antara mereka yang mengambil bahagian terbesar (dari dosa yang diperbuatnya), dia mendapat azab yang besar (pula). Al-Nur:11


إنَ الذين يحبّون أن تشيع الفاحشة فى الذين آمنوا لهم عذاب أليم فى الدنيا والأخرة والله يعلم وأنتم لاتعلمون


Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar di kalangan orang-orang yang Beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. Al-Nur:19


Demikianlah kerasnya amaran pembalasan Tuhan kepada perancang fitnah dan penyebar berita bohong. Malah sekadar "…ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar…" sudah cukup untuk membawa akibat ditimpa azab yang pedih dua kali, di dunia sekarang dan di akhirat nanti. Masing-masing akan merasakan kepedihan azab Tuhan mengikut kadar peranan yang dimainkan dalam kegiatan jahat tersebut. Masyarakat Melayu-Islam adalah masyarakat yang bersusila dan beradab. Manusia unggul dalam pandangan sarwa (worldview) Melayu diungkapkan dengan kata "orang budiman", ungkapan yang melambangkan kesempurnaan watak manusia cendekia dan berakhlak mulia. Melayu yang hidupnya dikandung adat adalah bangsa yang sentiasa mengawal perilakunya dengan nilai dan norma agama dan budaya.


Kesetiaan terhadap nilai-nilai itulah yang membentuk etos bangsa yang tersirat di balik kata "pantang Melayu", ungkapan yang merujuk sikap ketidakrelaan melakukan atau diperlakukan di luar batas nilai-nilai budayanya. Dalam kaitan ini perlu diingat bahawa antara pantang Melayu paling besar ialah mengaib atau diaibkan. Demikianlah sebagaimana yang dinyatakan secara eksplisit dalam dialog Seri Teri Buana-Demang Lebar Daun. Dialog yang disebut "wa`ad" oleh Tun Seri Lanang itu adalah sebuah dokumen budaya yang dimaknai sebagai kontrak sosial Melayu antara penguasa dan rakyat. Seri Teri Buana yang menyimbolkan penguasa Melayu menyetujui tuntutan Demang Lebar Daun yang bertindak sebagai jurubicara rakyat, agar rakyat Melayu walau apa pun kesalahannya, "jangan ia difadhihatkan dan dinista dengan kata yang jahat-jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh, itu pun jikalau patut pada hukum syar`i."


Memang kata-kata tersebut bukan teks suci keagamaan, tetapi ia tetap mempunyai makna dan significance kebudayaan yang istimewa. Justeru ia adalah pernyataan kesedaran Melayu tentang maruah dan karamah insaniah; bahawa manusia (Melayu) sekecil mana pun harus dihormati dan tidak boleh diaibkan. Sejarah Melayu (Sulalat al-Salatin) adalah karya agung yang mengungkapkan hikmah (wisdom) tradisi kepujanggaan bangsa tentang erti keluhuran etika sehingga "…segala raja-raja Melayu tiada pernah memberi `aib pada segala hamba Melayu, …". Dengan gaya dan daya kepengarangannya yang istimewa Tun Seri Lanang menyuarakan ketajaman firasat dan sekaligus amaran, "Jikalau ada seorang raja memberi `aib itu `alamat negeri akan dibinasakan Allah Subhanahu wa Ta`ala."


Demikianlah teks sebuah karya dari khazanah kepujanggaan bangsa yang mengabadikan suara hati dan akal budi Melayu sebagai bangsa yang memiliki kehormatan dan harga diri, yang demi maruah sanggup menderhaka apabila di`aibkan. Kontrak sosial Melayu memberikan isyarat jelas bahawa setia Melayu adalah setia bersyarat, sebagaimana derhakanya juga adalah derhaka bersebab. Setia Melayu yang tanpa syarat hanya kepada syari`at, rela menerima sebarang keputusan dan tindakan "…jikalau patut pada hukum syar`ie." Demi menghindari krisis yang diungkapkan oleh Tun Seri Lanang dengan kata "binasa" itu, jangan siapa pun melanggar pantang Melayu, dan jangan siapa pun menolak syari`at. Bangsa ini jangan diajar menjadi liar, tetapi kembalikanlah ke akar agama dan budayanya.


Sekretariat Bersama


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM),


Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).




Kajang: 11 Rabiulakhir 1431 / 27 Mac 2010

Wednesday, February 10, 2010

Mahasiswa dan kepimpinan : Misi Pemuda ke arah Pembentukan Tamadun Khayra Ummah



Disusun oleh: Sakinah Budiman

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama Allah yang pemurah lagi mengasihani.
Segala puji bagi Allah, dan sejahtera ke atas seluruh hambaNya yang terpilih.

Sebelum saya masuk kepada tajuk yang hendak saya sampaikan
kepada saudara-saudara, sukalah saya melahirkan perasaan gembira yang
tersemat di hati saya. Apa yang saya lihat di seluruh universiti dan pusat-pusat
pengajian di dunia Islam, bahkan di setengah-setengah dunia bukan
Islam, wujudnya kumpulan pemuda Islam yang beriman penuh dengan
'akidah Islam, menyedari tanggungjawab mereka sebagai orang Islam dan
sanggup mengorbankan sepenuh tenaga mereka untuk menegakkan
semangat Islam di pusat-pusat pengajian tinggi tersebut.

Adapun tajuk yang ingin saya sampaikan di sini ialah:

Apakah peranan yang harus dimainkan oleh pemuda, khususnya
MAHASISWA
dalam membina masa depan dunia Islam?

Kenapa mesti Pemuda?
Kenapa fokus selalunya kepada pemuda?
Kenapa pergantungan sentiasa kepada pemuda?
Menurut Islam setiap manusia ada peranannya. Setiap peranan harus diberikan haknya, tanpa ada rasa sensitif, tanpa ada pertentangan.

Kenapa pemuda menjadi objek di sini?

Pada hakikatnya usia muda seorang pemuda ialah usia yang penuh dengan cita-cita yang tinggi dan darah yang gemuruh serta idealisme yang luas. Iaitu usia yang memberi pengorbanan,usia yang menabur jasa, memberi kesan dan emosional.

Dari sini usia muda pemuda dalam perkiraan Islam mempunyai tanggungjawab dan nilai yang khusus dan kerana itu Rasulullah saw menekankan supaya pemuda-pemuda merasai demikian melalui sabdanya:

'Ambillah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara:-
Usia muda kamu sebelum tua,
masa sihat sebelum sakit,
harta kekayaan kamu sebelum papa,
masa hidup kamu sebelum mati,
dan masa kosong kamu sebelum sibuk.'


Kenapa Perlunya Persiapan Pemuda Islam(peripenting seorang pemimpin)?

Ada beberapa gambaran yang berbeza di sekitar tugas seorang pemuda Islam dan
matlamat dari persiapan mereka itu. Apakah matlamat utama dari persediaan pemuda
Islam ini?

Adakah matlamatnya sekadar memelihara dirinya daripada kecundang oleh hawa
nafsu
dan dorongan-dorongan fitnah, atau setakat supaya dia menunaikan fardhu-fardhu wajib yang ditaklif oleh Allah dan meninggalkan segala larangan Allah? Adakah itu sudah mencukupi?

Atau adakah matlamatnya untuk membekalkan mereka dengan pengetahuan
Islam yang cukup yang membolehkan mereka menulis dan bercakap sahaja?

Dan adakah matlamat persiapan seorang pemuda Islam bagi untuk menjalankan
amal-amal kebajikan, memberikan makan kepada orang miskin, merawat orang sakit
dan bersimpati dengan mereka yang menderita sahaja?

Atau adakah sekadar mempersiapkan pemuda Islam supaya boleh menjalankan
dakwah Islamiah sekadar melepaskan batuk di tangga?

Atau menjadikan mereka itu berada dalam suatu suasana organisasi pemuda Islam
dan cukup setakat itu tanpa mengira samada dia menjadi da'i atau pembimbing sematamata?

Matlamat kita ialah –
"MEMBINA TAMADUN KHAYRA UMMAH melalui pembinaan generasi."

Sejarah telah membuktikan bahawa dua belas golongan dari bangsa
Israel telah hilang dan dunia ini dan tidak ditemui oleh sejarah hingga hari
ini. Dalam hal ini tidak pula diriwayatkan bahawa mereka telah dibunuh
kesemuanya atau telah dilenyapkan asal-usulnya dari muka bumi ini untuk
selama-lamanya. Sebenarnya apa yang dimaksudkan dalam hal ini ialah
kesedaran keisraelan telah lenyap dari golongan itu dan kesedaran itu tidak
berpindah kepada generasi-generasi selepas mereka. Apabila
lenyap sifat keisraelan dan tamadun keisraelan tadi lalu meresaplah ia ke
dalam bangsa-bangsa lain di dunia ini hingga anak cucu mereka sendiri tidak
mengetahui yang mereka itu berketurunan Israel.

Dari sini nyatalah bahawa hidup dan kekalnya sesuatu bangsa itu
adalah bergantung kepada sikap ingin menyediakan generasi akan datangnya
supaya meraka berkemampuan menielihara identiti kebangsaannya.
Mungkin inilah tajuk penting yang hendak saya terangkan dengan jelas
kepada saudara semua.


BAGAIMANA?

Tujuan ini tidak akan terlaksana melainkan dengan dua jalan.

Jalan pertama: Pelajar-pelajar sendiri hendaklah bergerak melaksanakannya.

Jalan kedua: Pemerintah hendaklah merangka polisi pelajaran dan
pendidikan yang boleh mencapai kepada tujuan ini. Sekarang saya terangkan
secara ringkas berhubung dengan kedua-kedua cara tersebut.

Asasnya adalah ILMU.

Pelajar-pelajar yang sedang berada di universiti-universiti dan fakulti-fakulti
tentulah sudah besar, matang, mempunyai kesedaran dan boleh
membezakan di antara buruk dan baik. Begitu juga pelajaran yang
diterimanya membolehkan mereka mengetahui identiti mereka jika mereka
mahu dan juga membolehkan mereka maju ke hadapan jika mereka bergerak.

BAGAIMANA MENGUATKAN DIRI?

1. Tarbiyyah akliah ( akademik)
2. Tarbiyyah jasadiyyah ( jasmani )
3. Paling penting ialah Tarbiyyah nafs-Mengambil berat tentang hati.

Oleh itu pemuda Islam mestilah mengambil berat tentang hatinya. Memberikan bekalan supaya menjadi hati yang rabbani, yakin dan tenang.

Rasulullah saw telah menunjukan bagaimana cara mengambil berat tentang hati bagi
menunaikan tanggungjawab risalah yang dipikulnya mengikut kadar cabaran yang dihadapi
untuk membolehkan mereka melaksanakan peranan terpenting dalam melakukan perubahan itu.

Pertama: Zikrullah.
Zikir atau mengingati Allah adalah menghidupkan hati. Ia membuang karat-karat dan
melembutkan hati. Sesuai dengan hadis Rasulullah saw:
‘Setiap sesuatu itu ada penggilapnya, dan penggilap hati itu ialah zikrullah. Tidak sesuatu yang lain dapat melepaskan seseorang dari azab neraka Allah lebih dari zikrullah.' Al-Baihaqi.

Kedua: Bergantung Dengan Kitab Allah.
Hubungan baik pemuda Muslim dengan kitab Allah iaitu pergantungan dan pembacaan mereka
terhadap kitab Allah itu sambil mentadabburkan ayat-ayat dan maknanya adalah jalan yang paling
dekat kepada Allah. Ia juga merupakan dorongan paling kuat ke arah hubungan baik dengan Allah.
Di dalam satu wasiat Rasulullah saw kepada Abu Dzar al -Ghafar i :
‘Hendaklah engkau membaca Al-Quran, sesungguhnya ia adalah cahaya bagi kamu di bumi, dan
Perbendaharaan bagi kamu di langit.’

Ketiga: Muraqabah Allah.
Muraqabah (kawalan) Allah boleh memelihara pemuda Islam dari tergelincir malah
memelihara mereka dari fitnah dan sentiasa hati mereka mendapat pertunjuk Allah dan
bukannya dipandu oleh hawa nafsu. Oleh itu pemuda Islam hendaklah mengetahui tiga perkara:
* Perkara yang jelas kebaikannya hendaklah diikuti.
*Perkara yang terang keburukannya hendaklah dijauhi.
* Perkara yang syubahat hendaklah ditanyakannya.

Firman Allah swt::
Dan Sesungguhnya kami Telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang
dibisikkan oleh hatinya, dan kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.

Keempat: Mujahadah An-Nafs.
Dalam skop persediaan kejiwaan, pemuda Islam akan mendapati pergolakan dalam dirinya;
nafs-ammarah-bi-su’ (nafsu jahat).
Oleh itu pemuda Islam mestilah sentiasa berjihad dengan diri mereka menghalang daripada
makan, minum, berpakaian, kata-kata, pandangan, pendengaran dan syahwat yang berlebihan.
Akhir kata, saya ingin memetik kata-kata daripada Fathi Yakan,

Sesungguhnya masyarakat manusia hari ini penuh sesak dengan pemuda-pemuda tetapi
pemuda-pemuda ini hanyalah yang kosong,
hanyut dan terbiar;
Pemuda yang tiada peribadi,bersikap seperti kera;
Pemuda yang tiada mempunyai akhlak,
yang lebih dekat dengan binatang ;
Pemuda yang dijadikan tentera oleh kuasa-kuasa jahat dan zalim,
disusun oleh parti-parti kufur dan syaitan;
Pemuda pondan yang tiada kebaikan pada mereka;

Tetapi keberkatan datang bersama pemuda
yang tinggi cita-citanya.
Rujukan:
  • Generasi muda dan Perubahan – Fathi Yakan
  • Abu Ala Maududi- Peranan Pelajar
YAKIN DENGAN ALLAH!!

Silk Road